KERETA Perodua Myvi milik Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok disimbah cat merah dan diconteng oleh pihak yang tidak bertanggungjawab hari ini.
Muhammad Luqman Jamalil-Idrus, 22, menyedari kejadian itu pada jam 9.30 pagi ketika hendak menghadiri kelas. Dia amat terkejut apabila melihat keretanya penuh dengan cat merah dan diconteng di bahagian kiri dan kanan di tempat letak kereta di kolej kediaman UUM itu.
Penuntut tahun ketiga Sarjana Muda Pengurusan Awam itu berkata, sebelum ini dia tidak pernah mempunyai musuh atau bergaduh dengan sesiapa dan tidak pernah berhutang along yang menyebabkan ada pihak tidak berpuas hati dengannya.
"Kejadian ini agak mengejutkan saya kerana ia berlaku di kawasan kediaman universiti ini dan saya tak berani tuduh sesiapa selain tak tahu punca mengapa saya menjadi mangsa.
"Sebelum ini, saya mempunyai urusan di luar selama empat hari tetapi tidak berlaku pula kejadian seperti ini dan ia terjadi ketika saya berada di rumah," katanya ketika dihubungi hari ini.
Muhammad Luqman berkata, disebabkan bimbang keselamatannya terancam, dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu 1 tengah hari tadi untuk memaklumkan kejadian itu dan menyerahkan kes itu kepada polis untuk siasatan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim mengesahkan menerima laporan itu dan siasatan sedang dijalankan setakat ini.
kesiannya.. tak pasal-pasal buruk kereta orang..
ReplyDeletemahasiswa zaman sekarang dah terlampau ekstrem.
ReplyDelete