nuffnang adds

Monday, July 9, 2018

Ekapol Chanthawong Hero of "13 Hope" | Operasi Menyelamat Mangsa Gua Tham Luang





PEMBANTU jurulatih ini namanya Ekapol Chanthawong. Beliau berusia 25 tahun.

Beliau yang mengetuai 12 pemainnya dari pasukan bola sepak, Moo Pa (Wild Boars) memasuki gua di pergunungan Doi Nang Non pada 23 Jun lalu.


Pergunungan yang terletak di sempadan Thailand-Myanmar itu mempunyai banyak air terjun dan gua yang menarik untuk diterokai.

Sepatutnya, pada tarikh kejadian, ketua jurulatih, Nopparat Khanthavong, 37, dipertanggungjawabkan untuk aktiviti itu namun tugas itu diserahkan kepada Ekapol kerana beliau mempunyai temu janji yang tidak dapat dielakkan.

Napparat sempat memberi nasihat di Facebook milik Ekapol supaya menunggang basikal di bahagian belakang pemainnya.

“Pastikan kamu menunggang basikal di belakang mereka supaya kamu dapat melihat dan memerhatikan mereka. Jaga diri,” tulis Napparat di Facebook Ekapol.

Selepas gagal dihubungi di mana harapan dilihat sudah berakhir, kumpulan diketuai Ekapol itu ditemui dengan selamat oleh dua penyelam pasukan penyelamat. Itu pun selepas sembilan hari mereka dilaporkan hilang.

Dalam tempoh getir sembilan hari itu, Ekapol memainkan peranan yang cukup besar. Bayangkan kalau tiada Ekapol, nasib 12 pemain muda tu mungkin nasibnya berbeza.

Pasukan penyelamat mengatakan Ekapol mengajar pemainnya cara meditasi dan menggunakan tenaga secukupnya dalam tempoh terperangkap di dalam gua yang dipenuhi air banjir itu.


Semangat Ekapol bersama mangsa lain


Pada 2003, Ibu bapa dan adiknya yang berusia 7 tahun maut akibat wabak penyakit yang belaku di utara Thailand.

Ekapol anak yatim piatu waktu umur 10 tahun. Membesar dengan neneknya di Mae Sai di utara Thailand.

Dia juga ditempatkan di kuil Buddha selama 10 tahun dalam proses menguatkan jiwanya selepas kehilangan kesemua ahli keluarganya.

Pengalaman peritnya mengajar erti ketabahan dalam apa jua kesengsaraan yang dihadapi sejak dari kecil dan semua itu disalurkan kepada 12 anak didik dia itu.

Kawan rapat Ekapol percaya, semangat dan peribadi Ekapol itu disalurkan kepada budak-budak berkenaan.

“Dia amat menyayangi mereka lebih daripada dirinya. Saya tahu dia ajar mereka supaya kuat semangat sama seperti kekuatan semangat yang ada pada dirinya,” kata Joy Khampai.

Waktu pertama kali ditemui pasukan penyelamat, Ekapol antara yang paling lemah. Sebab apa? Sebabnya semua makanan dikongsikan dengan 12 pemain dia.

Ekapol juga sempat menitipkan kata-kata melalui surat memohon maaf buat ibu bapa pemainnya. Dia minta maaf dengan seikhlas hati.

Nak tahu apa kata ibu bapa pemain? Sedikit pun mereka tidak menyalahkan Ekapol, malah amat berterima kasih dan bersyukur kerana Ekapol dapat menjalankan peranan sebaik mungkin. Mereka juga berjanji akan melayan Ekapol dengan baik selepas diselamatkan nanti.

“Jika dia tidak pergi bersama mereka, apa yang akan berlaku kepada anak saya?

“Bila dia diselamatkan nanti, kami akan ubati jiwanya. Wahai Ek (Ekapol) yang disayangi, kami tidak menyalahkan kamu,” kata ibu Pornchai Khamluang, salah seorang mangsa yang terperangkap.

Jadi di sini, Ekapol adalah wira dalam kes ini. Tanpa pengalaman kehidupan yang perit diusia setahun jagung, tidak mungkin dia dapat membimbing pemain-pemainnya untuk cekal menempuh dugaan terbesar itu.

Setakat artikel ini ditulis, empat mangsa berjaya diselamatkan semalam namun pihak keselamatan Thailand tidak mendedahkan siapa mangsa itu.

Hari ini juga operasi menyelamatkan Ekapol bersama lapan pemain lain sedang giat diusahakan.

Satu dunia sedang memerhati kisah ‘13 hope’ ini. Kita doakan semuanya selamat. Thailand jiran kita. Thailand saudara kita.


Nama: Ekapol Chanthawong
Umur: 25
Jawatan dalam Moo Pa: Pembantu jurulatih
Asal: Mae Sai, utara Thailand
Pekerjaan: Pembuat kopi

2 comments: